Kompleks Pusat Pengajian UniMAP Jejawi 3, 20 Mac 2011- Kebelakangan ini acap kali kita digembar-gemburkan dengan pelbagai isu-isu negatif seperti jenayah seks bebas, rogol, dadah, rompakan dan sebagainya. Sebahagian besar kes-kes ini melibatkan golongan belia dan remaja masa kini yang rendah nilai akhlaknya, tiada jatidiri, tiada haluan yang jelas akibat dilanda arus cabaran yang merosakkan akidah dan peribadi individu tersebut. Oleh kerana itu, satu Seminar Akhlak telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Perlis dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Kangar bagi membincangkan tentang nilai akhlak dalam kalangan belia dan remaja khususnya di negeri Perlis ini pada 20 Mac 2011 yang lalu.
Seminar yang diadakan di Dewan Kuliah 3, Pusat Pengajian UniMAP, Jejawi telah bermula seawal jam 9 pagi setelah semua peserta yang terdiri daripada ahli-ahli PEMBINA Perlis berkumpul dan bersiap sedia untuk berseminar. Seminar kali ini telah dipengerusikan oleh saudara Fathullah Akmal bin Khalid.
Seminar telah dimulakan dengan slot yang pertama iaitu slot tentang pengenalan asas-asas dalam Islam dan elemen akhlak yang menjadi topik utama seminar kali ini juga merupakan salah satu daripada asas-asas tersebut. Kemudian, seminar diteruskan lagi dengan slot yang kedua berkaitan bagaimana berakhlak dengan sifat lemah-lembut. Dalam slot yang kedua ini juga, ditekankan bagaimana seseorang itu harus mengawal kemarahannya dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim. Seperti dalam sabda Rasulullah s.a.w, diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.:
“Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda: Janganlah engkau marah. Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: Janganlah engkau marah.” Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari.
Kedua-dua slot ini telah disampaikan oleh YDP ISMA Cawangan Kangar, Ust. Yahya bin Nayan. Kemudian slot yang ketiga berkaitan dengan akhlak tentang malu telah disampaikan oleh NYDP ISMA Kangar, Cikgu Noorzamri bin Ibrahim. Daripada slot ini, beliau menerangkan kepada peserta bagaimana seharusnya kita untuk bersikap malu sepertimana yang ditunjukkan dalam Islam dan juga menjauhi bersikap malu yang tidak bertempat.
Untuk meningkatkan lagi pemahaman tentang input daripada tiga slot yang disampaikan, satu bentuk latihan dalam kumpulan telah diadakan. Peserta dikehendaki menganalisa kembali input-input yang disampaikan dalam tiga slot tersebut dan cuba untuk menghubungkaitkan dengan pengalaman sedia ada yang pernah setiap daripada peserta alami dan apa pengajaran yang boleh diambil untuk kita memeperbaiki akhlak kita di masa akan datang.
Disediakan oleh,
Muhammad Hafiz bin Abdul Rahim,
Ahli Media Pembina Perlis.